 |
|
|
[ View the Fotopage entry | View the complete Fotopage ]

|
|
|
|
[ View the Fotopage entry | View the complete Fotopage ]
|
| Thursday, 14-Dec-2006 01:24 |
|
Utusan Malaysia -14/12/2006
|
|
Keluarga
Idea tercetus semasa menjaga Syazana di wad
Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
BAPA berjiwa penyayang Mohammad Hashim atau Mamat bersama anak-anak, Nurul Syafiqah, Nur Aiman Syafiq dan Nur Aqila Syazana.
--------------------------------------------------------------------------------
WALAUPUN bibirnya mengukir senyuman ceria, namun jauh dari sudut hatinya ada tersembunyi rasa duka. Itulah Mamat atau nama sebenarnya Mohammad Hashim, 38, seorang badut yang tidak asing lagi di kalangan warga kota.
Apakah tiada lagi pekerjaan lain lagi yang boleh dilakukan untuk menyara keluarga? Itulah antara mulut-mulut sumbang yang sering didengari namun Mamat reda dengan kehendak Ilahi. Baginya hanya satu, niatnya untuk membuat orang tertawa meskipunlara di hatinya hanya Tuhan saja yang tahu.
Tidak pernah langsung terdetik di hatinya untuk menjadikan badut sebagai kerjaya tetap. Namun takdir tuhan penentu segala. Kelahiran anak bongsunya Nur Aqila Syazana kira-kira empat tahun lalu mengubah corak hidup keluarga ini. Tidak seperti kakak sulung dan abang yang lain, Syazana lahir dalam keadaan tidak sempurna iaitu dia mengalami kecacatan sumbing bibir dan lelangit atau cleft lip and palate.
“Waktu itu, hanya wad pediatrik kanak-kanak tempat kami sekeluarga bersama untuk menemani Syazana,’’ kata Mamat ketika ditemui di rumahnya di Rumah Pangsa Danau Kota, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurutnya lagi, beliau kerap berulang-alik ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk melawat Syazana di wad.
Melihat suasana wad yang serba-serbi suram, beliau sendiri akan merasa ‘sakit’ jika berada lama di situ. Justeru, Mamat mengambil inisiatif dengan cuba membuat aksi-aksi lawak untuk mengembalikan senyuman di bibir Syazana yang telah lama luput ditelan suasana.
“Kita (ibu bapa atau penjaga) yang menunggu anak-anak pun akan terasa sakit dengan suasana sunyi begitu, apatah lagi anak-anak kecil. Suasana muram bertukar ceria apabila saya melakukan aksi lawak untuk menceriakan Syazana,’’ ujarnya yang sememangnya menyayangi kanak-kanak.
Dengan tidak disangka, aksi-aksinya itu mendapat perhatian kanak-kanak lain yang sedang terlantar di wad yang sama dan itulah titik tolak Mamat bergelar badut. Bermula dengan belon dan coklat, Mamat memulakan kerjaya badut secara sukarela di wad kanak-kanak tersebut dan dari hari ke hari, aksi-aksinya telah mula mendapat tempat di hati mereka.
Kini, Mamat boleh berasa bangga dengan usahanya itu kerana telah berjaya menguasai lebih dari 100 trik silap mata dan menggayakan belon serta mempunyai koleksi kostum yang rata-ratanya dibuat sendiri oleh isterinya Ramlah Ishak. Menurutnya lagi, banyak undangan diterima dan ada kalanya beliau terpaksa menolak kerana jadual hariannya terlalu padat.
Sehingga kini, Mamat masih meneruskan khidmat sukarela di HKL kerana matlamat asalnya hanya satu, iaitu untuk menghiburkan orang ramai dan bukan sekadar untuk memenuhi poket sendiri sahaja.
‘’Alhamdulillah sejak berhenti dari pekerjaan sebagai pemandu, rezeki saya dan anak-anak makin bertambah, bagi saya untuk menjadi badut keikhlasan hati amat penting,’’ujarnya sambil mengusap kepala anak bongsu, Syazana.
Kini dia telah berjaya menubuhkan CMamat Entertainment yang dianggotai ketiga-tiga anaknya, Nurul Syafiqah, 11, Nur Aiman Syafiq, 8, Nur Aqila Syazana, 4 dan tiga anak saudaranya, Nur Haniza Salim, 12, Nur Faseha Salim, 15 dan Nur Fawzi Salim, 9.
Menurut Mamat lagi, beliau menggunakan kesempatan pada hujung-hujung minggu untuk melatih anak didiknya supaya mahir dengan trik-trik yang dikuasainya.
Mengimbau kembali penglibatan Mamat dalam arena badut ini, dia tidak pernah menjalani sebarang latihan formal untuk menjadi seorang badut.
“Semuanya saya pelajari sendiri dari pemerhatian di karnival-karnival, sarkas dan video dari barat. Apa yang penting bagi saya ialah minat dan ketekunan untuk melakukannya,’’ katanya lagi. Sebagai menambah pendapatannya, beliau juga menjual set permainan silap mata di Uptown Danau Kota yang terletak berhampiran rumahnya.
Beliau juga ada membuat sedikit kelainan dengan menyelitkan unsur-unsur pengajaran dalam setiap persembahannya supaya ada mesej dapat disampaikan dan bukan hanya jenaka kosong.
Namun di sebalik senyuman yang diberikan, sebenarnya lebih banyak pahit dari manisnya kerana tidak semua orang dapat menerima kehadiran badut. Cemuhan dan ejekan sering menjadi permainan namun tahap kesabaran yang tinggi menyebabkan mereka lali dan mampu membalas senyuman atas setiap ejekan yang dilontarkan. Menurutnya lagi, anak-anaknya juga telah dididik supaya bersabar dengan kerenah penonton yang pelbagai itu dan mereka dapat menerima keadaan itu dengan hati yang terbuka.
“Pernah anak saya Aiman, dipanggil badut bodoh, namun saya nasihatkan Aiman supaya bersabar dan setiap malam saya akan memberikan motivasi kepada mereka dan beritahu mereka pekerjaan ini adalah satu pekerjaan yang mulia,’’ katanya yang sering menginap di Glory Beach Resort, Port Dickson kerana memenuhi undangan pertunjukkan di sana setiap hujung minggu.
Bagi Mamat sekeluarga, tugas seorang badut ialah membuatkan orang tertawa atau setidak-tidaknya tersenyum dan jika mereka tersenyum, maka itulah penghargaan buat badut seperti mereka.
Mamat tidak menafikan, kerjaya badut ini juga telah merapatkan lagi hubungan antara mereka sekeluarga kerana setiap persembahan mereka akan bersama dan pada hujung minggu mereka akan berlatih pula bersama. Namun begitu, jadual harian anak-anaknya sering dipantau bagi mencapai keseimbangan antara pelajaran dan kerjaya mereka. Baginya, cukuplah hanya dia seorang sahaja menjadi badut dan beliau menyandarkan harapan yang tinggi untuk melihat anak-anaknya berjaya dalam kerjaya masing-masing dan badut itu tersemat dalam memori indah mereka.
Menurut Mamat lagi, untuk membuat seseorang tertawa memang mudah. Tetapi untuk membuat mereka tertawa di kala kesusahan sedang bersarang di hati bukanlah satu pekerjaan yang mudah. Jika tidak kena dengan gayanya, apa yang diharapkan akan menjadi sebaliknya.
Matlamatnya hanya satu, memberikan mereka sedikit sinar harapan buat bekalan menanti hari-hari yang mendatang. Senyuman merupakan ubat segala penyakit dan itulah yang dilakukan oleh Mamat sebagai seorang badut iaitu mengembalikan kembali senyuman mereka supaya tidak terus hilang.
Terima kasih kepada:
CMamat Entertainment & Keluarga.
016-2343017 & 012-3542961.
FAKTA BADUT (dipetik dari WIKIPEDIA, ensiklopedia bebas)
BADUT wujud sejak berabad tahun dahulu. Kononnya, sejak zaman Yunani kuno dan Romawi kuno, ada manusia penghibur yang menyolek wajahnya dengan bedak tebal dan berpakaian aneh, serta fasih memperagakan mimik-mimik lucu.
Mereka tidak hanya membuat lawak jenaka untuk orang-orang kaya, malah mencari nafkah di jalanan menerusi pertunjukkan mereka.
Penggunaan istilah badut
Mengikut sejarahnya, badut merujuk kepada seseorang yang punya dandanan lucu (seakan meniru karakter komik). Selain itu, solekan badut tebal dan kostum mereka berwarna warni. Ditambah kemampuan memperagakan mimik lucu dan aksi-aksi luar biasa, tanpa banyak menggunakan kata-kata. Inilah yang membezakannya dengan pelawak konvensional.
Sejarah badut
Di abad Pertengahan (sekitar tahun 500 Masihi hingga 1,500 Masihi) terdapat karakter badut yang sangat terkenal. Masyarakat Eropah, khususnya di Itali, mengenali badut sebagai arlecchino atau harlequin, yang dipopularkan kumpulan drama pentas commedia dell `arte. Kostum yang digunakan pada masa itu amat ringkas.
Pada abad ke-18 Masihi pula, badut mulai menjadi bahagian penting dalam pertunjukan sarkas. Tujuannya untuk meredakan tekanan penonton akibat pertunjukkan sarkas yang bahaya dan mencabar.
Salah satu pelopor pemakaian kostum badut moden, merangkap bintang sarkas di awal abad ke-18 Masihi, adalah karakter Jocy yang diciptakan Joseph Grimaldi. Kelebihan Jocy ialah bukan sekadar membuat lawak, tapi juga memainkan perasaan penontonnya dengan mimik sedih, bahkan mewujudkan perasaan takut kepada penonton.
Sila hantar Salam Aidiladha, Tahun Baru 2007
Tajuk-tajuk Berita
--------------------------------------------------------------------------------
Mengurus kemarahan anak-anak
Idea tercetus semasa menjaga Syazana di wad
--------------------------------------------------------------------------------
--------------------------------------------------------------------------------
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: online@utusan.com.my
--------------------------------------------------------------------------------
| Terms of Use |
|
|
|
|